mutakhir

PPM selamatkan nelayan Indonesia

Oleh Abdul Rahemang Taiming

KAPAL penarik udang dari Indonesia bersama tiga nelayan diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas kapal itu mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut sehingga ke perairan Pulau Sipadan, Semporna, semalam.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, semua mangsa yang berasal dari Tarakan, Indonesia diselamatkan anggota PPM sejurus mendapat maklumat daripada Taman-Taman Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengesan kapal itu dalam keadaan mencurigakan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, siasatan awal mendapati kapal bersama tiga kru itu mengalami kerosakan enjin ketika dalam perjalanan dari Nunukan ke Sungai Nyamuk, Indonesia.

Katanya, kru kapal terbabit cuba membaiki kerosakan enjin kapal berkenaan, namun ketika ombak besar menyebabkan kapal mereka dihanyutkan sehingga ke Pulau Sipadan.

“Semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan pemeriksaan terhadap kapal terbabit tidak menemukan barang yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua mereka bersama kapal diiring ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kita juga sudah menghubungi Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau untuk tindakan mereka seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 7:22pm
d