mutakhir

Jangan lupa perjuangan asal parti - Tun M

Oleh Nur Lela Zulkipli

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan ahli parti supaya tidak sesekali lupa kepada perjuangan asal parti jika masih mahu diterima rakyat.

Beliau berkata, perjuangan asal demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara perlu dikekalkan supaya tidak berubah menjadi perjuangan untuk diri sendiri dan keluarga.

Dr Mahathir berkata, keadaan itu dapat dilihat dalam parti yang kalah dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) lalu yang pada mulanya setia kepada perjuangan tetapi lama kelamaan, pemimpinnya mengutamakan kemewahan diri sendiri dan keluarga daripada agama, bangsa dan tanah air.

“Kita menang pada PRU14 bukanlah kerana kita kuat, tetapi disebabkan rakyat sudah menolak parti lawan pada ketika itu.

“Parti yang kalah adalah parti yang memerdekakan negara kita selama 60 tahun dan jasa mereka harus diakui; namun, hakikatnya rakyat tidak lagi suka dengan perjuangan parti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis ulangtahun BERSATU yang ke-3 diMasjid Negeri Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Tun Mahathir berkata, nasib parti yang kalah pada PRU14 itu boleh dijadikan pengajaran BERSATU untuk terus berikan yang terbaik dalam perjuangan yang dibawa tanpa menjadikan diri sebagai hamba wang.

“Kita boleh belajar bukan saja dari pengalaman tetapi juga dengan melihat apa yang terjadi kepada pihak lain.

“Kejayaan, kegagalan dan sifat mereka boleh beri pengajaran kepada kita dengan cara mengamalkan apa yang kita fahami.

“Dengan cara itu, kita akan selamat dan dapat mengelak daripada apa yang menyebabkan mereka kalah,” katanya.

Katanya lagi, parti yang kalah selepas 60 tahun mentadbir negara ini didapati hanya berjuang untuk mendapatkan kontrak supaya dapat hidup lebih mewah.

“Itulah perjuangan mereka dan bukan lagi rakyat yang menjadi keutamaan. Disebabkan itulah rakyat rasa benci dan marah sekali gus sokongan semakin berkurangan.

“Parti dijadikan sebagai alat untuk kayakan diri dan keluarga, maka sokongan rakyat semakin merosot. Mereka fikir rakyat cintakan duit, namun semua ramalan itu meleset.

“Apabila kita lihat pada PRU14, rakyat tolak bulat-bulat peejuangan seperti ini. Inilah yang berlaku kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 12:34am
d