mutakhir

Dapat RM15,000 sebulan

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, semalam, diberitahu bahawa Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis membiayai semua perbelanjaan ibu dan adik tirinya dari awal hingga akhir hayatnya.

Adik tirinya, Khairiah Ali, 51, berkata, Jamaluddin secara konsisten memberi elaun bulanan sebanyak RM15,000 kepadanya dan sering memberinya wang tunai RM10,000 hingga RM20,000 setiap kali melawat dirinya dan ibu mereka di rumah.

“Saya boleh membuat tuntutan ke atas semua bil perubatan dan perbelanjaan rumah seperti pembelian barangan elektrik. Arwah juga memberi kad kredit kepada mak untuk kegunaannya.

“Arwah membiayai semuanya. Dia membantu, menanggung dan menjaga setiap keperluan, kebajikan, makan minum dan perbelanjaan saya dan mak.

“Bantuan yang diberikan arwah tidak pernah henti, tambahan pula saya perlu menjalani rawatan dialisis,” katanya.

Khairiah hadir bagi memberi keterangan dalam kes saman ibu mereka terhadap dua cucunya yang didakwa gagal memasukkan syer tiga syarikat berjumlah RM1.3 bilion dalam senarai aset harta pusaka.

Menurutnya, arwah memberi elaun bulanan melalui tiga syarikatnya iaitu Kilang Sawira Makmur Sdn Bhd, Teras Dara Konsortium Sdn Bhd dan Wira Digital Sdn Bhd.

“Arwah mengendalikan semua perbelanjaan saya dan mak melalui rakan rapatnya yang juga pekerja di syarikat. Mereka adalah individu yang dipercayai arwah untuk menjaga keluarga.

“Selepas arwah meninggal, ada bantuan yang kekal dan ada berkurangan serta ada dihentikan sama sekali.

“Bagaimanapun bil hospital masih kekal dibayar hingga hari ini. Saya ada memerlukan rawatan suntikan berharga RM4,000 sebulan, tetapi dihentikan.

“Saya terpaksa meminta bantuan mak membayarnya, hanya sejak tiga bulan lalu pembayaran dibuat oleh anak perempuan arwah,” katanya.

Khairiah berkata, antara bantuan lain yang tidak diteruskan selepas arwah meninggal dunia adalah bekalan ikan segar dari Pahang kepada ibu mereka dan pembayaran Astro.

“Hanya sebulan lalu, bekalan ikan dan bayaran Astro ini kembali diteruskan. Elaun bulanan saya bersumber tiga syarikat bagaimanapun dikurangkan sedikit demi sedikit dan akhirnya diberhentikan sekitar Julai 2017.

“Saya bergantung ke atas budi mak dan juga pinjaman daripada rakan rapat arwah,” katanya

Menurutnya, pada 16 Disember 2016, ada mesyuarat keluarga dibuat di rumah arwah di Mines di sini.

“Saya, mak, defendan, Puan Sri Kalsom Ismail (isteri arwah), dua anak arwah serta peguam semua pihak.

“Ia bagi membincangkan surat Ikatan Perjanjian Keluarga yang didraf oleh peguam. Surat ini adalah cadangan untuk membuat pembahagian harta pusaka secara persetujuan dan bukan mengikut faraid.

“Mak minta saya teliti surat dan dia tidak setuju serta meminta saya menulis nota iaitu ‘Bagi secara faraid mengikut syarak termasuk syarikat dan lain-lain.’

“Mak menekankan dia berhak mendapat bahagian faraid dalam semua harta pusaka anaknya termasuk aset meliputi syarikat arwah,” katanya.

Sementara itu, Khairiah berkata, antara sebab lain ibunya memfailkan permohonan terbabit adalah kerana terkilan dengan tindakan defendan yang gagal memaklumkan kepadanya berhubung apartment di Boston, Amerika Syarikat yang dimiliki arwah.

“Defendan tahu berhubung perkara ini kerana biasa tinggal di rumah itu sebelum arwah meninggal dunia.

“Mak hanya mengetahui perkara ini melalui abang (Najeb Ali) yang mendapat maklumat melalui Internet.

“Nilai rumah itu adalah AS$1.95 juta pada 2015. Defendan mendakwa mereka dinasihatkan bahawa undang-undang Amerika Syarikat terpakai untuk rumah itu dan menjadi milik Kalsom.

“Kemudian baru mereka tahu ia terpakai di bawah undang-undang Islam yang termasuk di bawah aset pusaka arwah yang perlu dibahagikan mengikut hukum syarak,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Chew Chang Min yang mewakili kedua-dua defendan, Nur Anis dan Ikwan Hafiz, saksi itu mengakui bahawa dua beradik berkenaan masih memberi wang kepadanya walaupun selepas arwah meninggal dunia.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 6:10am
d