mutakhir

Mid Gajah kena tangkap

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DUA lelaki dipercayai dalang penyeludupan etnik Rohingya ke negeri ini pada Mac dan April lalu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, kelmarin.

Lelaki warga Thailand itu dikenali sebagai Mid Gajah, 50, dan orang kanannya, lelaki warga tempatan dikenali sebagai Mubin, 57, ditahan jam 8.20 pagi di jeti haram berhampiran Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis.

Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika cuba mendaratkan dua etnik Rohingya menggunakan bot pancung di kawasan jeti haram itu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua etnik Rohingya terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

“Manakala Mid Gajah mempunyai pas sempadan namun tidak mendapatkan sebarang pengesahan kemasukan ke negara ini daripada pihak Imigresen.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot pancung yang digunakan sindiket terbabit diubah suai menjadi seakan-akan bot nelayan tempatan dan mereka menggunakan enjin jenis ekor biawak yang boleh melalui kawasan air cetek.

“Mereka dipercayai menunggu paras air laut surut pada awal pagi supaya mudah menyeludup warga asing ke negara ini,” katanya di Depoh Simpanan Kenderaan Imigresen Perlis, semalam.

Basri berkata, sindiket Mid Gajah ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan penyeludupan warga asing malah dipercayai turut menjadi dalang kes pendaratan etnik Rohingya di pantai Sungai Bahru, sebelum ini.

“Suspek mengaku menerima upah RM1,500 hingga RM2,000 daripada rangkaian sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa bagi satu perjalanan.

“Kadar bayarannya mungkin meningkat bergantung kepada jumlah penumpang,” katanya.

Katanya, Mid Gajah bersama dua warga asing yang ditahan direman selama 14 hari bagi siasatan mengikut

Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Kami masih menunggu mahkamah mengeluarkan perintah penahanan reman ke atas Mubin kerana dia berstatus warganegara,” katanya.

Pada awal Mac dan April lalu, rakyat di negeri ini digemparkan dengan pendaratan beramai-ramai etnik Rohingya yang dalam kepenatan di pesisiran pantai Sungai Bahru, Kuala Perlis.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 6:30am
d