mutakhir

Hulur bantuan

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan bagi memadam kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera susulan jerebu ketika ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa ini, perbincangan belum dibuat dengan pihaknya berhubung keperluan berkenaan.

“Itu belum bincang dengan kita lagi sama ada, ada keperluan untuk menghantar bomba ke Indonesia.

“Bagaimanapun, kita akan bersedia untuk bekerjasama. Jika pertolongan diperlukan, sudah tentu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau JBPM bersedia memberikan bantuan,” katanya pada sidang media Majlis Pra Pelancaran Asia-Pacific Urban Forum (APUF) kali ketujuh di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, kelmarin, berhubung Malaysia bersedia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi memadam kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera yang menjadi punca jerebu di negara ketika ini.

Yeo dilaporkan berkata, dalam pertemuan beliau bersama timbalannya, Isnaraissah Munirah serta wakil Kementerian Luar dengan Menteri Kaunselor Indonesia, Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Maklumat, Sosial dan Budaya Kedutaan Indonesia, Agung Cahaya Sumirat, Selasa lalu Malaysia sekali lagi mengulangi kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan yang memberi kesan rakyat di negara ini.

Pada masa sama, Yeo juga dipetik berkata, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar sudah bertemu dengan pegawai kanan Indonesia untuk membincangkan masalah jerebu rentas sempadan yang kini menjejaskan Malaysia.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 6:50am
d