mutakhir

Pakailah topeng N95 [METROTV]

Oleh Nor Akmar Samudin

SUSULAN keadaan jerebu yang berterusan, Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan topeng jenis N95.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, topeng menutup hidung dan mulut jenis itu paling berkesan untuk kegunaan ketika berjerebu dan habuk.

Katanya, ia juga dapat menapis udara yang disedut namun, mempunyai kelemahan sekiranya tidak dikenakan dengan sempurna.

“Penutup hidung dan mulut N95 tidak direka bagi kanak-kanak dan pemakaian sempurna (perfect fitting) adalah sukar bagi mereka yang berjanggut atau berjambang.

“Sementara penggunaan penutup hidung dan mulut tiga lapis (sebagai gantian N95) pula bertujuan menghalang kuman yang boleh merebak melalui pernafasan, tetapi ia tidak sekedap respirator N95,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan penutup tiga lapis dialu-alukan jika tiada N95, berbanding tidak memakai langsung perlindungan ketika aktiviti luar.

Katanya, jerebu yang berada pada paras sangat tidak sihat boleh menyebabkan gangguan seperti, batuk, selsema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru.

“Terutama anak-anak kecil dan mereka yang mengidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu,” katanya.

Untuk itu, beliau menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing di portal Jabatan Alam Sekitar, http://apims.doe.gov.my/.

Maklumat pencegahan kesan kesihatan akibat jerebu pula boleh diperoleh di http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 10:09am
d