mutakhir

Hilang sekelip mata

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“SAYA nampak dia pegang telefon bimbit sambil bercakap sebelum terjun sungai dan tiba-tiba terkapai-kapai,” kata A Dines, 23, rakan K Sasitharan, 22, yang dikhuatiri lemas di anak sungai dekat Tandop, Taman Osman Arof, Jitra, semalam.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, Sasitharan dikatakan terjun ke sungai itu dan disedari tenggelam oleh empat rakannya.

Kata Dines, mereka berlima berehat di kawasan itu yang terletak tidak jauh dari rumah dan Sasitharan dikatakan pandai berenang.

“Dia memang pandai berenang tetapi kawasan itu mungkin dalam menyebabkan dia gagal selamatkan diri.

“Saya harap dia ditemui segera,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pagi ini yang turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

“Kita tak menghadapi sebarang masalah kerana lokasi ini sering dijadikan latihan anggota kami.

“Namun belum ada petunjuk mangsa,” katanya yang memberitahu kedalaman anak sungai itu antara tiga hingga empat meter dan keluasan kawasan 40 meter.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 11:45am
d