mutakhir

Stok dadah setengah juta ringgit [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

POLIS berjaya merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM575,892 dalam serbuan berasingan di dua lokasi di Selangor, 11 September lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kejayaan itu berdasarkan maklumat orang awam dan hasil risikan pihaknya hingga membolehkan serbuan di Klang dan Batu Caves, Gombak.

“Dalam serbuan di Klang, dua lelaki dan seorang wanita Thailand ditahan pada 8.30 malam di kaki lima pangsapuri selepas dipercayai menjadi pengedar dadah di kawasan berkenaan.

“Suspek lelaki berumur 21 dan 28 tahun serta wanita Thailand berumur 36 tahun dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak tiga bulan lalu.

“Soal siasat, dua suspek lelaki itu kemudiannya menyerahkan 9,900 biji erimin 5 seberat 2.6 kg sebelum anggota dibawa naik ke unit di tingkat lima pangsapuri itu yang menjadi tempat penyimpanan pelbagai dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Polis kemudiannya menemui 93 paket serbuk ecstasy seberat 1.3 kg yang disimpan di dalam peti sejuk.

“Selain itu, kita turut merampas 366 pil ecstasy (104 gram); 113 pil kuda (12 gram); serbuk ecstasy seberat 2.3 kg dan 37 gram ketamin di dalam rumah berkenaan,” katanya.

Noor Azam berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dalam serbuan itu berjumlah RM450,335 selain turut menyita wang tunai RM80,000, dua kenderaan bernilai RM50,000, lima telefon bimbit dan barangan lain yang kesemuanya berjumlah RM163,200.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan direman selama tujuh hari bermula semalam,” katanya yang memberitahu wanita Thailand itu tiba di Malaysia empat hari lalu, adalah teman wanita seorang daripada suspek dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, dalam serbuan di Batu Caves, Gombak pula, polis menahan suspek lelaki berumur 23 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori di pangsapuri yang diduduki bersama keluarga.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis heroin anggaran berat 46.5 gram, 14 paket kecil mengandungi Syabu seberat 187.5 gram dan satu ketulan mampat ganja seberat 972.1 gram.

“Pemeriksaan ke atas kereta Proton Waja dipercayai milik suspek dan menemui lagi 35 ketulan mampat ganja seberat 36.2 kilogram (kg).

“Berdasarkan analisa yang dibuat, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM125,557,” katanya.

Suspek kemudiannya ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 September depan untuk siasat mengikut Seksyen 39B ADB.

Katanya, suspek yang tiada rekod jenayah dan bebas ujian air kencing itu turut mengaku menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun.

Menurutnya, pihaknya sedang menyiasat sama ada kedua-dua kes berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah lain di Lembah Klang.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 2:03pm
d