mutakhir

Lelaki hina Nabi dapat kurang hukuman

Oleh Melvin Joni

MAHKAMAH Tinggi di Kuching, hari ini mengurangkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada enam tahun terhadap Alister Cogia berhubung kes menghina Nabi Muhammad, awal tahun ini.

Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu selepas mengambil kira faktor perbezaan masa dan tarikh bagi kesalahan dilakukan tertuduh yang berusia 22 tahun.

“Tertuduh melakukan dua kesalahan pada hari yang sama, cuma masa sahaja berbeza. Manakala dua kesalahan lagi dilakukan pada tiga hari berlainan. Oleh itu, faktor masa memainkan peranan penting dalam hal ini.

“Hukuman penjara bagi kesalahan yang dilakukan tertuduh pada hari berbeza sepatutnya dijalankan secara berturutan, manakala hukuman penjara bagi kesalahan yang dilakukan pada hari yang sama harus dijalankan serentak,” katanya.

Azhahari juga menegaskan bahawa sungguh pun semakan hukuman tersebut diterima, harus diingat bahawa kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah kesalahan serius yang boleh menggugat keharmonian kaum di Sarawak.

Mengenai tahap kesihatan mental Alister pula, mahkamah mendapati dia sihat dari segi mental dan layak dibicarakan di mahkamah.

Justeru, faktor kesihatan mental tidak diambil kira oleh mahkamah ketika membuat pengurangan terhadap hukuman penjara terbabit.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 2:13pm
d