mutakhir

Produk Malaysia, logo palsu [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 503 lampu Light-emitting Diode(LED) bernilai RM795,000 disita kerana tiada sijil produk Malaysia.

Sitaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan di kilang lampu dekat Balakong, Seri Kembangan, semalam.

Ketua Seksyen Siasatan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan oleh lapan penguat kuasa selepas menerima aduan orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati pihak kilang berkenaan menggunakan logo buatan Malaysia pada kotak mengandungi lampu terbabit namun, syarikat itu tidak mempunyai sijil produk Malaysia daripada bahagian pembangunan perniagaan.

“Berdasarkan pemeriksaan dan maklumat pengurusan syarikat itu, lebih 70 peratus barangan adalah buatan dalam negara,” katanya ketika ditemui.

Shamsul Nizam berkata, mana-mana pihak yang menggunakan logo itu perlu mendapat kebenaran KPDNHEP kerana tertakluk Akta Perihal Dagangan 2011.

Namun, katanya, syarikat itu yang beroperasi sejak 1993 tidak pernah memohon kepada KPDNHEP dan memberi alasan tidak tahu keperluan berkenaan.

“Ini adalah rampasan pertama membabitkan kesalahan itu tahun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membuat representasi palsu mengenai pembekalan atau kelulusan barang.

“Jika didapati bersalah, denda hingga RM100,000 bagi persendirian atau penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan penalti sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 2:48pm
d