mutakhir

Murid Melayu persembahkan tarian singa

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“SEJAK kecil saya teringin mempelajari seni tarian naga dan singa kerana terlalu meminati filem aksi kungfu yang dilakonkan Jackie Chan,” kata Mohd Safiq Aiman Suren, 11.

Dia antara 30 murid Sekolah Kebangsaan Jerong (SKJ) yang mempersembahkan tarian naga dan singa pada Majlis Perasmian Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Terengganu (PKKT) di Kampung Wakaf Tapai, Marang hari ini.

Murid darjah lima itu berkata, kehadiran PKKT ke sekolahnya bagi mengadakan pertunjukan tarian naga dan singa awal tahun lalu memberi peluang kepadanya dan rakan menyertai PKKT.

“Sebelum ini saya hanya melihat persembahan tarian naga dan singa di televisyen tetapi sekarang saya sendiri boleh mempersembahkannya.

“Saya masih dalam proses latihan untuk memastikan tarian naga dan singa yang dipersembahkan sejajar dengan lenggok tarian sebenar.

“Bukan senang menari tarian naga dan singa itu kerana ia mempunyai langkah tersendiri dan setiap pergerakan ada makna tertentu,” katanya ditemui selepas melakukan persembahan pada majlis itu di Pejabat PKKT Kampung Wakaf Tapai.

Mohd Safiq berkata, selain diajar tarian, dia dan rakan dilatih bermain alat muzik bagi mengiringi tarian naga dan singa itu.

“Pada peringkat permulaan, jurulatih mendedahkan kami dengan permainan alat muzik dan apabila kami sudah biasa serta ada kemahiran bermain alat muzik, kami diajar seni tarian naga dan singa.

“Saya beruntung menyertai persembahan itu malah ia berbeza dan seronok untuk dipelajari,” katanya.

Sementara itu, Nur Qaisara Mohd Hanafi, 9, yang mempelajari alat muzik tarian itu berkata, dia tidak kisah dipersendakan oleh rakan kerana menyertai PKKT bagi mempelajari seni tarian naga dan singa.

“Saya dilatih bermain alat muzik dipanggil Pa dan saya mengambil masa dua minggu menguasai alat muzik itu.

“Biarpun tidak diajar membuat tarian naga dan singa namun menjadi sebahagian daripada kumpulan yang mempersembahkan tarian itu memberi kepuasan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKKT Yau Fong Kiew berkata, pihaknya aktif melatih murid sekolah mempelajari seni tarian itu sejak tiga tahun lalu.

“Bagaimanapun baru sekarang kami menawarkannya kepada murid Melayu untuk mempelajarinya bagi memastikan kesenian tradisional itu turut dikongsi bersama tidak mengira bangsa.

“Sebagai permulaan, 70 murid SKJ terbabit dengan latihan tarian naga dan singa selain bermain peralatan muzik tarian berkenaan.

“Mereka bukan saja dilatih untuk tujuan persembahan tetapi mewakili PKKT dan SKJ ke pertandingan tarian naga dan singa,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 5:25pm
d