mutakhir

Serbuan markas Syiah ikut SOP

Oleh Idris Musa

SERBUAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di markas Hauzah ar-Ridha di Taman Sri Gombak, Gombak pada 6 September lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, serbuan itu dibuat mengikut bidang kuasa syariah negeri dan pihaknya menghormati tindakan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah mendapat maklum balas daripada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kelmarin.

“Kita akan meneliti sejauh manakah perkara ini boleh kita tengok dalam rangka lebih besar, iaitu dalam rangka supaya kita mengekalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu kebebasan dan agama Islam agama Persekutuan.

“Jadi keseimbangan antara itu kita sedang melihat. Apa yang dilakukan di Selangor itu adalah di bawah bidang kuasa syariah Selangor, mengikut SOP,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad dan Ketua Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Dalam serbuan JAIS itu, seramai 22 individu termasuk Pengerusi Syiah Malaysia Kamil Zuhairi Abdul Azizi ditahan.

Bagaimanapun, semua mereka dibebaskan dengan jaminan dan difahamkan pihak JAIS dalam proses melengkapkan siasatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Mujahid turut diminta mengulas cadangan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor agar fakta berkenaan kefahaman Syiah dimasukkan dalam sukatan pelajaran pengajian Islam bagi mengurangkan fobia terhadap aliran itu.

“Pandangan itu terdedah kepada pelbagai reaksi, Mufti Pulau Pinang itu melihatnya secara lebih berstruktur dan lebih positif agar salah faham tidak timbul antara penganut agama,” katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa tindakan pihak berkuasa berkenaan tidak mencerminkan Mesej Amman mengenai Syiah iaitu kempen perpaduan bermula di Amman, Jordan pada 2004, Mujahid berkata, beliau memberi jaminan seperti termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia.

“Saya nak bagi jaminan dalam Perlembagaan, Artikel 3 Islam agama Persekutuan, agama lain bebas untuk diamalkan serta Artikel 11 tentang kebebasan.

“Itu menjadi parameter kita untuk memastikan, tidak mencerobohi hak kebebasan itu.

“Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu pihak penguat kuasa ada SOP yang mewajarkan tindakan. Jadi antara kedua itulah kami menelitinya tetapi secara umumnya kita tetap berpegang kepada prinsip Artikel 3 dan 11,” katanya.

Berita berkaitan

Dakwa selepas siap kertas siasatan

22 pengikut Syiah ditahan

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 6:25pm
d