mutakhir

44,440 batang rokok seludup dirampas

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TINDAKAN lelaki tempatan membawa rokok seludup menggunakan kereta bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila dicekup pasukan rondaan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Ja’afar Kaimi berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan 4.40 petang ketika memandu Proton Persona perak di kawasan Bukit Batu, Simpang Renggam.

“Sebaik kenderaannya diperiksa, pasukan rondaan itu menemui 243 kotak rokok pelbagai jenama disimpan di but belakang.

“Dalam kotak rokok itu mengandungi 44,440 batang rokok dianggarkan bernilai RM20,380,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, susulan itu suspek ditahan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1959/63 kerana memiliki barang bercukai yang diseludup bagi mengelak daripada membayar cukai.

Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 6:41pm
d