mutakhir

'Aduh...sakitnya'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN seorang kanak-kanak lelaki memasukkan ibu jarinya ke dalam lubang tombol pintu rosak mengundang padah apabila ibu jarinya tersangkut dan terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya terima kecemasan daripada pihak hospital mengenai kejadian itu pada 4.04 petang.

“Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke hospital terbabit dan sebaik tiba didapati ibu jari tangan kiri kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu tersangkut pada tombol pintu.

“Kami mengambil masa beberapa minit untuk memotong tombol pintu berkenaan menggunakan mesin ‘grander’,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Sharil berkata, berdasarkan keterangan pihak hospital dikatakan kanak-kanak itu dikejarkan ke situ untuk menerima rawatan oleh ahli keluarganya selepas mendapati ibu jarinya luka.

“Difahamkan, ahli keluarga mangsa cuba mengeluarkan sendiri ibu jarinya yang tersangkut itu tetapi gagal kerana sudah membengkak sebelum ia luka.

“Pihak hospital memaklumkan kanak-kanak terbabit mengalami luka yang agak dalam pada ibu jarinya kerana kejadian itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 7:59pm
d