mutakhir

Bekas isteri dipercayai 'sembunyikan' anak di Belgium [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam menetapkan 30 Oktober depan bagi keputusan permohonan hak penjagaan anak sebelah pihak terhadap seorang kanak-kanak perempuan didakwa dilarikan ibu kandungnya ke Belgium, bulan lalu.

Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid menetapkan tarikh itu dalam permohonan hak penjagaan anak bagi pasangan lelaki tempatan, Badrul Hisham Salih, 37, dan wanita Belgium, Soraya Arishah Anne-Marie Degouis, 27.

Terdahulu, saksi plaintif yang juga adik kepada Badrul Hisham, Fatin Alia Salih, 26, memberitahu mahkamah abangnya terpaksa menunggu lebih tujuh jam di lobi sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur pada hari anak perempuannya itu sepatutnya pulang ke pangkuannya.

Namun, kelibat Soraya dan anaknya tidak kelihatan sehingga Badrul Hisham meninggalkan hotel berkenaan.

Fatin Alia berkata, anak saudaranya, Lea Alina berusia empat tahun sebelum itu bermalam bersama ibunya pada 23 Ogos lalu di Kuala Lumpur dan sepatutnya dipulangkan kepada abangnya, Badrul Hisham pada 25 Ogos.

Katanya, abangnya menunggu anak saudaranya dari jam 5 petang hingga jam 12 tengah malam di lobi hotel berkenaan, namun tidak nampak kelibat anak saudaranya.

“Pada jam 1 pagi pada 26 Ogos, abang saya ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan polis selain meminta kebenaran melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel itu.

“Pegawai penyiasat ke hotel untuk buat siasatan pada jam 3.35 pagi dan menerusi rakaman CCTV, Lea, Soraya dan ibu Soraya, Hindun Jani keluar pada jam 1 pagi,” katanya.

Ketika ditanya peguam plaintif, Datuk Azmi Rais, adakah beliau mengetahui di mana Lea kini berada, Fatin Alia berkata, berdasarkan kepada akaun Facebook milik abang tiri bekas kakak iparnya, Ameer Yusof, anak saudaranya itu kini dipercayai berada di Belgium.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Badrul Hisham berkata, pihaknya sudah mendapatkan Perintah Interim baharu dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk memerintahkan supaya hak penjagaan interim sementara terhadap Lea diserahkan kepadanya.

Katanya, perintah baharu itu juga memerintahkan supaya kanak-kanak itu dipulangkan kepadanya dengan serta merta.

Badrul Hisham berkata, dia berharap bekas isterinya itu kembali ke Malaysia bagi menguruskan hak penjagaan anak mengikut undang-undang.

Pasangan itu bercerai pada 22 Mac 2018 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur sebelum Badrul Hisham memohon hak penjagaan kekal terhadap anak perempuannya itu selepas memperoleh hak jagaan sementara secara sebelah pihak pada bulan sama.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 8:44pm
d