mutakhir

'Kaki judi' tergamam diserbu polis

Oleh Mohd Azam Shah Yaaacob

LAPAN pekerja premis judi dalam talian dan 28 ‘kaki judi’ di sebuah rumah kedai empat tingkat di Taman Puchong Indah, Puchong tergamam diserbu Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, semalam.

Kesemua mereka berusia 21 hingga 65 tahun leka berjudi menggunakan komputer riba tidak menyangka premis yang terselindung dan dianggap ‘selamat’ itu berjaya dikesan dalam Op Dadu Judi Online (JOL) pada 6.10 petang.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, premis judi dalam talian itu dipercayai sudah beroperasi kira-kira tiga minggu dan popular dalam kalangan warga asing serta tempatan.

Menurutnya, sindiket terbabit turut menggunakan laman sesawang untuk mempromosikan judi terbabit bagi membolehkan ‘kaki judi’ bermain menggunakan aplikasi di telefon bimbit.

“Premis itu bukan saja beroperasi bagi menguruskan pertaruhan kaki judi menerusi aplikasi telefon bimbit, sebaliknya mereka turut menyediakan kemudahan komputer riba bagi membolehkan tahi judi berkenaan datang untuk bertaruh.

“Antara permainan dalam talian ditawarkan seperti slot, jackpot dan table games,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, premis itu dipercayai memperoleh kutipan pertaruhan antara RM3,000 hingga RM5,000 sehari.

Menurutnya, 28 kaki judi yang ditahan itu membabitkan 20 lelaki tempatan termasuk 13 yang beragama Islam, empat lelaki warga Indonesia dan masing-masing seorang lelaki warga Myanmar serta India.

“Lapan pekerja premis yang ditahan itu pula membabitkan enam wanita Indonesia serta masing-masing seorang lelaki Pakistan dan Indonesia.

“Kesemua warga asing itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1963.

“Selain itu, mereka bersama warga tempatan ditahan mengikut Seksyen 4(B)a dan Seksyen6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Menurut Rohaimi, polis merampas sebanyak 56 unit komputer riba, tiga unit modem serta wang tunai berjumlah RM1,212.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 8:56pm
d