mutakhir

Masuk rumah tanpa izin [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

SAKSI kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, dia terus masuk ke dalam rumah di Mutiara Homes, Petaling Jaya, tanpa izin tertuduh pertama, Samirah Muzaffar.

Raju Kumar Pandit, 31, yang juga ketua pengawal keselamatan di kawasan perumahan didiami Samirah dan arwah Nazrin berkata, dia bertindak demikian apabila Samirah yang berada di luar rumah tidak memberi sebarang arahan kepadanya.

Saksi keempat pendakwaan warga Nepal itu berkata demikian ketika sesi soal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili tiga tertuduh iaitu Samirah, 44, dan dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 17 dan 14 tahun pada hari kedua perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

MUHAMMAD SHAFEE : Ketika itu siapa jemput kamu masuk ke rumah?

RAJU : Samirah ketika itu berada di luar dan tidak beri apa-apa arahan untuk masuk...jadi saya terus masuk.

Saksi itu berkata, dalam kejadian pada 14 Jun 2018, seorang lagi pengawal keselamatan bernama Ashish Tamang juga warga Nepal tiba di rumah berkenaan.

MUHAMMAD SHAFEE : Bila naik ke tingkat atas dengan kawan (pengawal keselamatan, Ashish). Kamu tendang tapi tak boleh juga (pintu terbuka)?

RAJU: Saya yang naik.

MUHAMMAD SHAFEE : Selepas beberapa tendangan tak boleh buka. Apa buat selepas itu?

RAJU: Selepas tak berjaya, saya minta tukul, namun Samirah kata tiada. Saya kemudian nampak jiran yang juga pemilik rumah nombor 16 membawa besi pahat.

Menceritakan lanjut kejadian itu, saksi sama berkata, dia kemudian terdengar Samirah menjerit memanggil nama Nazrin beberapa kali yang berada di dalam bilik itu.

“Pintu akhirnya berjaya dibuka,” katanya.

MUHAMMAD SHAFEE : Samirah cuba lari masuk ke dalam bilik selepas pintu berjaya dibuka, namun ditahan oleh seseorang?

RAJU : Saya yang pegang tarik Samirah dari masuk ke dalam bilik

MUHAMMAD SHAFEE : Kenapa buat begitu?

RAJU : Saya pegang dia sebab keadaan ada api dan berasap...

dia (Samirah) jerit ‘suami saya, suami saya ada dalam’ dan sebagai pengawal keselamatan memang kena utamakan keselamatan.

MUHAMMAD SHAFEE :Kalau saya katakan nyawanya terancam (ketika itu?)

RAJU : Ya

Samirah dan dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah membunuh Nazrin ketika itu berusia 47 tahun di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 9:14pm
d