mutakhir

6 kedai rosak dilanda ribut

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Gambar Abnor Hamizam Abd Manap

HUJAN dan angin kencang menyebabkan enam lot kedai Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) rosak, 5.40 petang, hari ini.

Yang Dipertua MPJL Raja Norazli Raja Nordin berkata, bumbung lot kedai di medan selera Bandar Seri Jempol itu tercabut, selain siling dan pendawaian elektrik rosak.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dan kos baik pulih dianggarkan berjumlah RM100,000.

“Selain itu, terdapat khemah penjaja berhampiran medan selera itu turut mengalami kerosakan.

“Orang ramai diharap dapat bersabar serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada MPJL untuk membantu menyelesaikan permasalahan mengikut bidang kuasa MPJL,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Abd Rahman Ramli berkata, kejadian ribut selama kira-kira 15 minit itu turut menyebabkan 10 rumah peneroka di Felda Raja Alias 2 dan 4 mengalami kerosakan.

Katanya, lapan rumah penduduk di Taman Seri Serting dan dipercayai dua blok bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting turut mengalami kerosakan.

“Sebuah motosikal turut rosak selepas dihempap tiang telefon namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Abd Rahman berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan MPJL dan Pejabat Daerah Jempol bagi menyalurkan bantuan kepada pihak terbabit.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 9:38pm
d