mutakhir

14 operator judi online dicekup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 14 individu termasuk enam wanita tempatan yang bekerja sebagai operator pusat judi dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Kota Damansara, di sini, hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor

Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, serbuan jam 3.15 petang itu dilakukan tiga pegawai dan 15 anggota hasil maklumat dan risikan dilakukan pihaknya.

“Ketika serbuan dilakukan di premis berkenaan yang terletak di tingkat tiga bangunan komersial itu, semua suspek berusia antara 19 hingga 35 tahun itu sedang sibuk menguruskan pertaruhan judi dalam talian pelanggan menggunakan komputer dan telefon bimbit.

“Kami turut merampas 15 komputer, 48 telefon bimbit, satu alat perakam kamera litar tertutup (CCTV), dua modem dan wang tunai lebih RM1,000,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Azmi berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit sudah beroperasi sejak setahun lalu dengan mempromosikan 10 laman sesawang judi dalam talian kepada pelanggan di China.

Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai mempunyai logo khas iaitu menggunakan simbol mahkota yang berpusat di China.

“Dianggarkan jumlah pertaruhan diraih sindiket ini adalah antara RM50,000 hingga RM80,000 setiap hari. Dalam tempoh sebulan, sindiket ini boleh meraih keuntungan bersih sebanyak RM80,000 setiap bulan.

“Terdapat 14 pekerja dalam premis ini yang bekerja bermula jam 9 pagi hingga 9 malam dengan bayaran gaji RM3,000 setiap bulan yang direkrut oleh ejen,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan dan barang yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(G) akta sama,” katanya.

⁃ ends

Keterangan gambar:

1. Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Deputi Superintendan Azmi Syukor menunjukkan laman web yang dipromosikan sindiket judi dalam talian dalam serbuan di sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

2. Antara laman sesawang yang dipromosikan sindiket terbabit.

3. Suspek yang bekerja sebagai operator di pusat judi dalam talian berkenaan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

From: No’Rule

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 9:48pm
d