mutakhir

Penyeludup rokok bertempiaran lari

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan sekumpulan lelaki menyeludup 50 karton rokok ke negara ini ketika melakukan rondaan di Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat di Kuala Langat semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Zulafendy Hassan berkata, anggota pasukannya rondaan melihat sekumpulan lelaki berkumpul dalam keadaan mencurigakan di kawasan pada 12 .45 tengah malam.

Menurutnya, susulan itu pasukan rondaan membabitkan seorang pegawai bersama 14 anggota terbabit cuba menghampiri kumpulan berkenaan tetapi mereka bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran mereka.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui 19 bungkusan plastik mengandungi kotak berwarna coklat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pasukan rondaan yang membuat pemeriksaan kemudiannya membuka kotak berkenaan dan menemui 50 karton rokok di dalamnya.

“Terdapat 10 kotak rokok dalam setiap karton yang keseluruhannya dianggarkan mengandungi 190,000 batang rokok.

“Batalion 4 PGA percaya rokok itu baru diambil selepas diseludup masuk dan barang rampasan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Tanjung Sepat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 11:45pm
d