mutakhir

Mana rumah kami?

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KIRA-kira 500 penduduk Jinjang Selatan Tambahan mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan supaya mempercepatkan pembinaan rumah di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelesaian Perumahan Tetap Penduduk Jinjang Selatan A Ponnampalam berkata, ini kerana penduduk sebelum ini dijanjikan penempatan selepas pengusiran dibuat pada 2017.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami tidak nampak projek itu berjalan, malah tiada apa-apa yang dilakukan.

“Penduduk yang diusir terpaksa menyewa pada harga tinggi di sekitar kawasan berkenaan sedangkan bayaran sewa yang dibayar oleh pemaju hanya RM700 sebulan,” katanya ketika ditemui di DBKL di sini, semalam.

Ponnampalam berkata, sebelum ini Datuk Bandar Kuala Lumpur berjanji menyediakan penempatan kepada semua penduduk kampung berkenaan pada 30 Januari lalu.

“Namun, sehingga hari ini pihak DBKL hanya berdiam diri dan tapak projek berkenaan juga lengang,” katanya.

Penduduk, Barakath Aminah Ali, 46, berkata, dia terpaksa menambah wang pembayaran sewa memandangkan pemaju hanya membayar RM700.

“Sewa rumah di sekitar kawasan ini sangat mahal dan rumah yang saya sewa pun berharga RM1,200 sebulan dan syarikat pemaju banyak kali tertunggak bayaran.

“Saya sudah tinggal di kampung berkenaan sejak 1985 sebelum kami diusir keluar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Azmi Abdul Hamid berkata, projek pembinaan penempatan itu dijangka bermula dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Memang kami akui berlaku kelewatan atas pelbagai faktor namun projek itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Berhubung dakwaan penduduk pemaju hanya membayar RM700 sahaja, pihak DBKL akan semak perkara berkenaan terlebih dahulu,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 6:10am
d