mutakhir

Paras air kritikal di Sri Aman

Oleh Mojd Roji Kawi

PENDUDUK Sri Aman dijangka terus mengalami masalah bekalan air berikutan penurunan paras air di lima loji rawatan di bahagian terbabit.

Penolong Pengarah, Unit komunikasi korporat dan Khidmat Pelanggan, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Awang Fardillah Awang Hussin berkata, satu daripada loji rawatan air iaitu di Skim Pembangunan Lemanak dihentikan operasi akibat paras air surut ke paras kritikal.

Beliau berkata, Loji Rawatan Air Bayai beroperasi hanya 60 peratus hari ini manakala Loji Rawatan Air Pantu pula hanya beroperasi lima jam sehari kerana bergantung dengan keadaan paras air sungai.

“Loji Rawatan Air Lingga, Seduku dan Stumbin pula hanya beroperasi dua kali sehari iaitu pada 8 hingga 10 pagi dan 3 hingga 5 petang.

“Loji Rawatan Air Skrang dan Melugu pula hanya beroperasi sebanyak 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu katanya, JBALB meminta orang ramai supaya menjimatkan penggunaan air berikutan musim kemarau panjang yang sedang melanda.

Bagi mengurangkan kesulitan penduduk, JBALB melaksanakan penghantaran bekalan air ke kawasan yang terjejas.

Beliau berkata, semalam bekalan air dihantar ke hospital, klinik dan sekolah di Sri Aman, rumah panjang di Daerah Lubok Antu, Daerah Engkelili, Daerah Pantu.

“Tangki air di Pusat Pengambilan Air Berpusat JBALB Sri Aman turut diisi bagi memastikan orang ramai mendapat bekalan secukupnya,” katanya.

Awang Fardillah berkata, orang ramai boleh mendapatkan bekalan air di Pusat Pengambilan Air JBALB di hadapan Pejabat JKR Sri Aman, Flet Kerajaan Negeri Jalan Kedang, di hadapan Penjara Sri Aman, Kampung Pakit dan Pasar Lachau di Pantu.

Katanya lagi, orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat terkini boleh melayari laman Facebook rasmi JBALB Sarawak.

“Sebarang aduan dan pertanyaan bolehlah dilakukan dengan menghubungi Careline JBALB Sri Aman di talian 083-323240 atau 083323242,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 12:39pm
d