mutakhir

Pensyarah UiTM meninggal dunia

Oleh Hasbi Sidek

PENSYARAH Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seremban 3 ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan, Seremban, semalam.

Mayat pensyarah sains politik, Badrul Azmier Mohamed@Bakar, 43, itu ditemui 6.30 petang selepas jirannya menghidu bau busuk dari rumah lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dua ke tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang mula mereput.

“Jirannya seorang lelaki yang menghidu bau busuk menghubungi polis sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi kejadian dan mendapati rumah itu berkunci dari dalam.

“Polis kemudian meminta pengawal keselamatan kawasan perumahan itu untuk menghubungi waris mangsa dan kakaknya yang berusia lewat 40-an tiba serta membuka pintu rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Said berkata, polis menemui mayat pensyarah itu yang belum berkahwin, terbaring di atas katil dalam bilik utama, dengan hanya memakai seluar.

Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk dibedah siasat dan mendapati tiada unsur jenayah.

“Kes diklasifikasikan mati mengejut dan mayat dituntut ahli keluarga untuk pengebumian di Melaka,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 1:39pm
d