mutakhir

Pasaraya rakyat terus berbakti

Oleh Mary Victoria Dass

ATAS kepekaan membawa sinar baru dalam kehidupan insan kurang bernasib baik di dalam negara mahupun luar negara, Pasaraya Econsave Cash & Carry sentiasa mengambil inisiatif menjayakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak lebih 10 tahun lalu.

Antara program Amal yang mendapat sambutan ramai termasuklah Program Amal Muafakat Johor, Program Bakul Rezeki, Program Madrasah Impianku serta membantu pembinaan sekolah di Gaza, Palestin, membantu membina 20 Rumah Senyum bagi mangsa gempa bumi Lombok dan mengumpul dana membantu pelarian di Lubnan dan Tabung Rohingya.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, program CSR yang diperluaskan skopnya termasuk berbentuk misi kemanusiaan adalah peluang dan cabaran dipikul pihaknya bagi menyelami kehidupan golongan kurang bernasib baik.

Katanya, pasar raya pilihan ramai yang membawa motto Bandingkan Harga Kami juga sentiasa berusaha mendahului dalam aktiviti kemasyarakatan dalam usaha memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat.

“Bagi kami, Pasaraya Econsave dan rakyat berpisah tiada dan atas kepekaan syarikat dalam membantu komuniti setempat, pasar raya ini pernah diiktiraf sebagai Syarikat Penyayang pada 2014, memenangi Anugerah Return To Work (syarikat prihatin Orang Kurang Upaya) pada 2016 dan Iskandar Malaysia Award pada 2017.

“Dalam soal penawaran kerja, kami juga tidak mengabaikan golongan orang kurang upaya (OKU) malah setiap bulan menawarkan bantuan one off kepada keluarga daif dengan menawarkan pemberian baucar antara RM1,000 selain meraikan golongan kurang bernasib baik sempena musim perayaan. Kami juga mengadakan program sumbangan kembali ke sekolah bagi membantu murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Menurut Mas Imran, program CSR ini dianjurkan Econsave dengan kerjasama beberapa agensi, antaranya MY Care dan menerima kerjasama kumpulan sukarelawan yang sanggup meredah perjalanan jauh selain ke tempat berisiko demi menghulurkan bantuan.

“Kami bukan saja bergerak aktif menjayakan program CSR tempatan malah memiliki 75 cawangan di seluruh negara dan berjaya mengumpulkan RM2.6 juta bagi pembinaan sekolah di Gaza, Palestin pada 2015 yang menempatkan 1,500 pelajar terutamanya anak yatim.

“Pasaraya Econsave juga menyumbang pek makanan di kem pelarian di Lubnan Palestin pada 2014 selain mengumpul dana RM150,000 bagi mengisi Tabung Rohingya untuk diserahkan kepada pelarian Rohingya yang menetap di Bangladesh pada 2017.

“Kami turut membina 20 Rumah Senyum bagi mangsa gempa bumi Lombok yang mana 12 rumah dibina di Kampung Pengembok, Lombok Utara manakala lapan di Kampung Sukadatu di Lombok Timur selain turut menyediakan bekalan air bersih di dua lokasi,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 2:04pm
d