mutakhir

Wawasan Kemakmuran Bersama rapatkan jurang ekonomi [METROTV]

Oleh BERNAMA

WAWASAN Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk merapatkan jurang kemiskinan antara negeri kaya dan miskin, bandar dan luar bandar serta pendapatan pekerja, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini, Dr Mahathir berkata, perbincangan hari ini akan dijadikan kertas Kabinet untuk dibawa dalam mesyuarat Kabinet mingguan akan datang.

“Selama tiga jam kami berbincang dengan panjang lebar dan perbahasan. Ini menunjukkan betapa seriusnya kami,” katanya dalam sidang media yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan menteri-menteri Kabinet.

Dr Mahathir berkata, di bawah wawasan berkenaan, kerajaan akan memberikan lebih keutamaan kepada hasil berbanding peluang.

Dr Mahathir berkata, secara umumnya Jemaah Menteri bersetuju bahawa terdapat jurang antara negeri-negeri.

“Ada negeri yang amat kaya, ada negeri yang amat miskin. Kita harus kurangkan jurang antara negeri-negeri yang kaya dengan yang miskin ini.

“Ini bermakna tumpuan akan diberi kepada negeri yang miskin. Jika dapat kerajaan akan tingkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Ditanya negeri yang dikategorikan miskin, Dr Mahathir menyenaraikan negeri terbabit ialah Kelantan, Perlis dan Kedah.

Dr Mahathir berkata terdapat juga jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar di mana secara puratanya bandar 'lebih kaya' dari luar bandar walaupun tidak dapat dinafikan terdapat juga kemiskinan berlaku dalam bandar.

“Satu progran mesti diadakan untuk meningkatkan pendapatan luar bandar,” katanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat juga jurang yang ketara antara rakyat yang kaya dengan miskin di mana yang miskin didapati terlalu miskin berbanding yang kaya.

"Yang kaya umpamanya sekarang ini ialah eksekutif dalam company (syarikat) yang boleh dapat sampai dua tiga juta (ringgit) setahun sedangkan yang pekerja di bawah ini tidak dapat. Jauh sangat bezanya,” katanya.

Dalam meningkatkan taraf pekerja bawahan itu, Perdana Menteri berkata, bukan dengan cara hanya menaikkan gaji mereka tetapi juga meningkatkan keupayaan pekerja supaya menjadi lebih produktif.

"Beri 'training' kepada mereka supaya mereka mempunyai kebolehan yang lebih, kecekapan yang lebih dan boleh membuat kerja yang lebih canggih,” katanya.

Dr Mahathir berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai peranan yang penting untuk meningkatkan keupayaan serta kemahiran pekerja dan oleh itu, kerajaan akan memberi keutamaan terhadap TVET.

“Bila kita tentukan sesuatu itu priority maka bajet negara akan memberi penekanan kepada yang priority,” katanya, sambil menambah jika kerajaan tidak mempunyai wang yang mencukupi, bajet untuk bukan keutamaan akan dikurangkan supaya dapat meningkat peruntukan kepada yang keutamaan.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 2:14pm
d