mutakhir

Sama-sama selamatkan Si Belang [METROTV]

Oleh BERNAMA

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) bagi melaksanakan Program Pemuliharaan Spesies Terancam ‘Selamatkan Si Belang’.

DBKL diwakili Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan manakala MZS diwakili presidennya Datuk Seri Zaharin Md Arif.

MoU yang berkuat kuasa hari ini sehingga 2022 itu meliputi penyaluran sumbangan untuk membiayai kos penjagaan tiga anak Harimau Malaya iaitu Melur, Wira dan Hebat yang lahir pada 1 Mei lalu meliputi kos makanan, penjagaan, rawatan serta pengurusannya.

Dalam ucapannya, Nor Hisham berkata, menerusi MoU itu yang ditandatangani di Zoo Negara, hari ini pihaknya bersetuju untuk menyumbangkan RM40,365 setahun bagi setiap ekor anak harimau itu selama tiga tahun berturut-turut.

“Jumlah kos bagi tiga tahun adalah sebanyak RM121,095... ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat kami bagi mewujudkan kesedaran pada orang ramai untuk memulihara Harimau Malaya yang semakin terancam pada masa ini.

“Peranan DBKL bukan setakat menjayakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 dan memberi keselesaan kepada warga kota tetapi juga sumbangan ini sebagai terapi kepada mereka untuk menceriakan bandar raya ini serta membantu memulihara haiwan yang semakin terancam,” katanya.

Hasil cerapan yang dijalankan melalui 1st National Tiger Survey di hampir 75 peratus plot kajian habitat harimau dalam tempoh 2016 hingga 2018 mendapati bilangan Harimau Malaya adalah kurang daripada 150 ekor di Semenanjung Malaysia.

“Jika tiada tindakan drastik yang dijalankan bagi mengatasi masalah penurunan populasi Harimau Malaya, jangkaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli berkata, jumlah kos untuk menanggung seekor harimau dewasa di Zoo Negara adalah kira-kira RM120 sehari untuk bekalan makanan dan antara RM3,000 dan RM4,000 bagi tempoh sebulan.

“Namun demikian, ketiga-tiga anak harimau itu masih lagi bergantung kepada susu ibu dan bergantung kepada kesihatan mereka untuk berkongsi makanan pejal dengan ibunya.

“Setakat ini kesihatan ibu Harimau Malaya dan ketiga-tiga bayi harimau itu sangat baik, dengan berat badan ibunya kira-kira 100 kg dan kira-kira 12 kg bagi setiap bayi harimau itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 5:25pm
d