mutakhir

Wanita miliki rokok seludup, mercun, bunga api

Oleh Asrol Awang

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 3 menahan seorang wanita yang juga pemilik kedai runcit selepas dipercayai menjual rokok seludup, mercun dan bunga api di Kampung Razali di Kuantan semalam.

Komander PPM Wilayah 3 Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan yang dilakukan pada 3 petang itu merampas 424 bungkusan mercun dan bunga api serta 80 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM58,294.

Menurutnya, pihaknya melakukan risikan selepas mendapat aduan daripada orang awam berhubung tindakan wanita berusia 46 tahun itu menjual rokok seludup dan mercun berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kita menjumpai rokok, mercun dan bunga api yang disimpan secara berasingan di beberapa tempat di dalam kedai berkenaan.

“Hasil siasatan kita juga mendapati rokok berkenaan dipercayai untuk dijual tetapi kita masih menyiasat sekiranya suspek turut menjual mercun serta bunga api berkenaan,” katanya.

Norzaid berkata, pihaknya menahan wanita berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957.

“Kita difahamkan suspek turut tinggal di rumah kedai berkenaan bersama ibunya,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 5:26pm
d