mutakhir

'Tak sabar tunjuk, main dengan kawan-kawan'

Oleh Farah Suhaidah Othman

KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah Nur Aisyah Aqilah Faizu Rahman, 5, sebaik tangan robotik rekaan seorang bekas guru, Sujana Mohd Rejab disarungkan ke tangannya oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun semalam.

Nur Aisyah Aqilah yang dilahirkan tanpa tapak tangan kiri bukan sahaja gembira, malah tidak sabar untuk memakai tangan mekanikal itu untuk ditunjukkan kepada rakan serta guru tadikanya.

“Adik (Bur Aisyah) tak sabar nak tunjuk pada kawan-kawan, nak main dengan kawan-kawan dengan tangan ini,” katanya yang belajar di Tadika Assyamil, Bandar Perdana Sungai Petani, Kedah.

Nur Aisyah Aqilah menerima tangan direka Sujana atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su pada Program Aspirasi Keusahawanan Bumiputera (MERCU) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gopeng.

Ibunya, Noor Amirsah Othman, 47, berkata, kekurangan dimiliki anaknya itu langsung tidak membataskan semangat Nur Aisyah untuk melakukan aktiviti harian namun dengan tangan robotik diterima itu akan lebih memudahkannya selepas ini.

Menurutnya, dia bertemu dengan Pak Su kira-kira empat tahun lalu ketika anaknya berusia 11 bulan dan memaklumkan mengenai masalah itu.

Katanya, Pak Su kemudiannya datang sendiri ke Sungai Petani untuk melihat keadaan Nur Aisyah dan bersyukur kerana tangan robotik untuk anaknya itu berjaya disiapkan.

“Saya kenal Pak Su selepas membaca artikel mengenai rekaan yang dibuatnya kira-kira empat tahun lalu dan saya harap Aisyah dapat membiasakan diri dengan tangan (robotik) ini, setakat ini saya tengok dia gembira,” katanya.

Sementara itu, Pak Su berkata, keupayaan tangan robotik untuk Nur Aisyah itu direka khas bagi membolehkan kanak-kanak berkenaan memegang peralatan kecil seperti botol air dan alat permainan bersaiz kecil.

Menurutnya, dia juga berhasrat untuk menjadikan Nur Aisyah sebagai kanak-kanak pertama yang akan menerima tangan elektronik pada 2020.

“Sekarang ini, saya sedang membangunkan sistem yang mana kalau boleh kanak-kanak seperti Nur Aisyah tidak ketinggalan dengan negara membangun seperti Amerika dan Eropah yang mana mereka menerima tangan elektronik yang lebih canggih.

“Saya sudah menguji sistem itu dan ia nampak berjaya tetapi saya jangkakan tangan menggunakan sistem itu berjaya disarungkan ke tangan Nur Aisyah pada Disember tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 6:03pm
d