mutakhir

Pendaki OKU negara tawan Annapurna Base Camp

Oleh Samadi Ahmad

PENDAKI orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim, 29, berjaya menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC), Nepal.

Kejayaan dicatatkan pada jam 11.30 pagi tadi (waktu Malaysia), sekali gus menjadikan beliau OKU pertama negara bagi kategori pekak dan bisu menakluk puncak setinggi 4,310 meter dari aras laut itu.

Beliau menyertai Misi anjuran Telekom Malaysia (TM) dan Peak Journey Adventure Consultant sempena Hari Malaysia bermula 8 September lalu yang dijangka berakhir 19 September ini.

Misi itu membabitkan pendakian ABC dan Poon Hill (3,210 meter dari aras laut) di Nepal, pada ketinggian keseluruhan membabitkan 4,310 meter dari aras laut.

Kumpulan ekspedisi disertai 21 kakitangan TM berusia 20 hingga 60 tahun diketuai pendaki Everest 2016, Azim Afif Ishak, antara lain bertujuan mewujudkan sikap kerjasama dalam kalangan pekerja.

Muhammad Hawari berkata, pelbagai cabaran dihadapi untuk bertahan sepanjang pendakian kira-kira lima hingga enam jam sehari dan terpaksa menempuh keadaan cuaca tidak menentu seperti panas dan sejuk untuk sampai ke ABC.

Katanya, keadaan trek sangat mencabar sehingga mengalami kekejangan otot namun tetap menguatkan semangat menamatkan pendakian.

“Minat mendaki bukanlah sekadar inginkan kepuasan semata-mata tetapi demi tekad mahu membuktikan golongan seperti dirinya juga mampu berhadapan halangan seperti cuaca, suhu dan keadaan sekeliling,” katanya ketika dihubungi melalui bantuan perantara menerusi telefon satelit, hari ini.

Sebelum ini, kakitangan pentadbiran di Muzium Pulau Pinang menyertai beberapa aktiviti pendakian selama empat bulan sebagai persediaan menyertai misi kali ini antaranya termasuk Cameron Ultra Marathon di Cameron Highlands, Pahang; Gunung Pulut dan Bukit Larut, Perak serta Gunung Rinjani, Indonesia.

Muhammad Hawari berkata, sukar untuk digambarkan perasaan dapat menjejakkan kaki ke ABC dengan altitud tinggi yang menyebabkan peserta mudah diserang penyakit akut gunung (AMS).

“Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih atas doa dititipkan seluruh rakyat Malaysia. Akhirnya saya berjaya menakluk ABC.

“Selain itu, kata semangat daripada ahli keluarga dan sahabat yang banyak membantu saya, sekali gus dapat melakukannya atas izin Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Azim Afif, 30, berkata kejayaan peribadi Muhammad Hawari dalam ekspedisi pendakian sangat bermakna kerana beliau adalah salah seorang peserta OKU yang akan menyertai Misi Wawasan Everest 2020 tahun depan.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 9:01pm
d