mutakhir

Bas ekspres tiba-tiba berasap

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

TINDAKAN pantas pemandu keluar daripada bas ekspres berjaya menyelamatkannya daripada rentung selepas kenderaan itu terbakar di Jalan Wakaf Raja, berhampiran stesen minyak Tok Kamis Pasir Puteh, hari ini.

Dalam kejadian 3.50 petang, pemandu berusia 39 tahun dalam perjalanan dari Jerteh ke Pasir Puteh tanpa membawa penumpang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, ketika kejadian pemandu melihat asap di bahagian belakang sebelum berhenti dan menyelamatkan diri.

Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 4 petang dan tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian.

“Seramai enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian dan ketika tiba, bomba mendapati sebuah bas ekspres sedang terbakar.

“Bagi kerja pemadaman, anggota menggunakan aliran hose reel dan bahan pemadam api jenis buih untuk membantu serta memadam api sepenuhnya.

“Dianggarkan bas ekspres terbakar 60 peratus membabitkan bahagian dalam serta bumbung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa lapan minit untuk mengawal kebakaran dan operasi tamat jam 4.33 petang.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 11:21pm
d