mutakhir

Maut langgar penghadang berisi air

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KUALA LUMPUR: Lelaki warga Singapura maut selepas kereta dipandu melanggar penghadang berisi air di sebelah kanan jalan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (METRAMAC) menghala pusat beli-belah Midvalley, jam 3.30 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, Chua Zhijian, 37, yang memandu Volkswagen Passat terlebih dahulu bergesel dengan sebuah Honda EX5.

Katanya, bagaimanapun, penunggang Honda EX5 yang juga lelaki berusia 25 tahun itu hanya cedera ringan pada lutut kanan.

“Selepas bergesel dengan motosikal itu, kereta yang dipandu mangsa terbabas dan melanggar penghadang berisi air.

“Mangsa disahkan mati di lokasi oleh anggota perubatan,” katanya pada kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 5:50am
d