mutakhir

'Mama tak larat jaga anak kamu'

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SANDAKAN: Nenek empat cucu yang hidup daif di Kampung Pangiran Galpam, Batu 7 di sini, sekali lagi merayu anak perempuannya kembali ke pangkuan mereka.

Bilani Mutari, 65, berkata, anaknya menghilangkan diri sejak dua tahun lalu dan gagal dihubungi sehingga kini.

Katanya, anaknya, Tina Melda Uyung, 28, mempunyai empat anak berusia dua hingga 12 tahun dan dia terpaksa membesarkan semua cucunya seorang diri.

“Sejak cucu kecil, sayalah yang bekerja mencari sesuap nasi dan membesarkan mereka semua.

“Kini saya sudah terlalu berusia, saya harap Tina pulang ke Sandakan segera. Pulanglah Tina jaga anak-anakmu. Mama selalu sakit sekarang ini,” katanya.

Bilani berkata, tiada siapa akan menjaga cucunya sekiranya dia sakit kuat satu hari nanti.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa Tina dua tahun lalu ketika anaknya pergi bekerja di Semenanjung.

“Apa yang kami tahu dia bekerja di bahagian pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kini saya tidak tahu dia di mana. Saya merayu dia pulang segera. Hubungilah ibu Tina. Semoga kau dilindungi Allah SWT,” katanya.

Bilani berkata, baru-baru ini ada pihak memberikan dia telefon untuk memudahkan perhubungan.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang memberikan saya telefon ini.

“Saya harap Tina dapat hubungi mama di talian 011-13359242 secepat mungkin,” katanya.

Pihak yang ingin menyalurkan bantuan kewangan kepada Bilani boleh memasukkannya ke akaun Bank Rakyat beliau 220712162841.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan berita seorang nenek terpaksa bekerja keras menyara empat cucu dan dua lagi anak lelaki yang tidak bekerja.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 6:00am
d