mutakhir

Untung berbudi kepada tanah

Oleh Syaherah Mustafa

BERKAT berbudi kepada tanah, petani di Kampung Pak Mayong, Tok Bali, Pasir Puteh kini mampu mengutip hasil ubi keledek sebanyak 1,500 kilogram (kg) sehari untuk dijual.

Shamsudin Md Nor, 52, yang sudah lapan tahun mengusahakan tanaman itu bersyukur keringatnya berbalas dengan ubi keledek dipasarkan di seluruh Kelantan dan pilihan pemborong dari Terengganu, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur.

Katanya, ubi keledek memberi hasil lumayan memandangkan harga pasaran ketika ini agak tinggi iaitu RM2.50 sekilogram.

“Saya mengusahakan tanaman ini atas tanah sendiri seluas empat hektar, dibantu 10 pekerja yang juga saudara mara terdekat.

“Lagipun tanah ini jenis tanah beris yang memang sesuai untuk tanaman ubi. Dalam setahun biasanya, kami dapat mengutip tiga kali hasil kerana keledek ini mengambil masa tiga bulan untuk betul-betul matang dan boleh dijual.

“Dengan kecanggihan teknologi masa kini, proses mengutip lebih banyak dan cepat kerana menggunakan jentera berbanding keringat manusia yang hanya dapat kumpul antara 400 ke 500kg sehari,” katanya.

Bapa lima anak berusia antara 10 sehingga 30 tahun itu berkata, mengusahakan tanaman itu tidak cerewet dan dia hanya menggunakan baja padi selain perlu pastikan sumber air mencukupi.

“Tapi risiko dalam pertanian tetap ada, seperti baru-baru ini, saya mengalami kerugian hampir RM10,000 kerana musim kemarau yang panjang dan sukar dapat sumber air untuk tanaman.

“Namun alhamdulillah, sekarang kembali baik dan tanaman kembali berhasil. Pertanian bagi saya, satu cara terbaik untuk anak muda hari ini mengubah hidup mereka.

“Cuma perlu rajin menggali maklumat dan merebut peluang disediakan kerajaan dalam sektor pertanian dan perladangan,” katanya yang turut dibantu isteri, Zabedah Awang Noh, 48.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 9:29am
d