mutakhir

Siasatan kes bunuh, bakar siap tak lama lagi

Oleh Siti Rohana Idris

DUA lelaki dan wanita ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat dipercayai dibunuh dan dibakar sebelum dicampak dalam anak sungai di Kampung Puyu, Jalan Semerak, Pasir Puteh, 4 September lalu.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 30-an ditahan berasingan, menjadikan jumlah

keseluruhan yang disiasat setakat ini 14 orang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, penahanan terbaharu itu dibuat di Pulau Pinang dan Jerteh, Terengganu pada Rabu serta Khamis lalu.

“Kita turut menemui bahan bukti terbaharu iaitu motosikal mangsa yang dibuang ke dalam anak sungai sama mayat ditemui.

“Siasatan lengkap dalam masa terdekat dan akan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan seterusnya,” katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi September 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bedah siasat ke atas mangsa berusia 20-an disahkan dibunuh di tempat lain dengan kesan pukul menggunakan objek tumpul di muka dan badan.

Selain mangsa turut mempunyai kesan luka dan terbakar 30 peratus dengan tempoh kematian dianggarkan 48 jam sebelum ditemui dalam anak sungai itu.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan kanak-kanak lelaki 10 tahun mendalangi kes kebakaran di Kampung Padang Pohon Tanjong, Tumpat, semalam.

Katanya, pegawai siasatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat sudah berjumpa dengan kanak-kanak itu untuk siasatan lanjut, namun tiada laporan mengaitkan dia sebagai pelaku.

“Untuk itu kes diserahkan kepada pihak bomba untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kediaman dihuni kanak-kanak itu bersama adik, dua abang dan bapanya musnah 60 peratus pada 10.45 pagi semalam dan semua mereka sempat selamatkan diri.

Bagaimanapun, hari ini tular di media sosial bahawa kanak-kanak itu dikatakan membakar rumah sendiri kerana didakwa teruja dengan kehadiran bomba.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 12:11pm
d