mutakhir

Dugaan pengarah muda

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENGARAH syarikat kerugian lebih RM300,000 selepas diperdaya berkaitan dana kemudahan kredit dari luar negara untuk menjalankan projek di negara ini.

Lelaki berusia 21 tahun itu pada mulanya diperkenalkan dengan seorang bergelar Datuk sekitar Mei lalu oleh rakan kongsi, kononnya lelaki itu boleh menyediakan dana berkenaan.

Pertemuan berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, mangsa kemudiannya menyerahkan sejumlah wang kepada suspek sebagai permohonan kemudahan kredit itu.

Menurutnya, mangsa turut diarahkan ke Turki bagi menjalin kerjasama dengan syarikat di sana untuk mendapatkan dana itu.

“Malah ketika berada di sana (Turki) dia diarahkan untuk membuka akaun dengan sejumlah wang lagi.

“Bagaimanapun mangsa diberitahu kemudahan kredit itu tidak dapat diteruskan kerana dia tidak cukup umur dan perlu pulang ke Malaysia bagi menukar nama pengarah syarikat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu, tampil membuat laporan di Balai Polis Chow Kit pada Khamis lalu untuk tindakan lanjut.

Mohd Fahmi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 2:08pm
d