mutakhir

Hujan renyai, jerebu tak halang Tun M [VIDEO]

Oleh Idris Musa

HUJAN renyai dan fenomena jerebu tidak menghalang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan aktiviti riadah menunggang kuda di Pusat Ekuin Universiti Putra Malaysia (UPM), dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri menghabiskan kira-kira satu jam berkuda di kawasan berkenaan, demikian menurut catatan di Facebook beliau, yang turut disertakan pautan video berkuda di laman YouTube rasminya, Chedet Official.

“Awal pagi Ahad, cuaca hujan renyai tak menghalang Tun Dr Mahathir menunggang kuda di Pusat Ekuin, UPM.

“Ini adalah antara aktiviti kegemaran beliau yang sudah lama tidak dapat dilakukan kerana kesempitan masa.

“Dr Mahathir menghabiskan kira-kira satu jam berkuda di kawasan tersebut,” menurut catatan itu.

Menerusi video berdurasi hampir dua minit itu, Dr Mahathirdilihat memakai topeng penutup muka ekoran jerebu yang melanda kawasan sekitar.

Beliau turut kelihatan memberi makan kepada kuda yang ditunggangnya.

Sementara itu, petang semalam, menerusi klip video dimuat naik, beliau memandu Proton X70 bagi jalan-jalan santai di sekitar ibu negara.

Dalam paparan video itu, beliau dilihat bergunting rambut, singgah di kafe serta bertemu dengan orang ramai. Sesetengah mereka mengambil kesempatan untuk berswafoto dengan beliau.

“Sebelah pagi bermesyuarat panjang, petang Sabtu ni jalankan aktiviti santai,” menurut catatan di Twitter beliau, semalam.

Negarawan berusia 94 tahun itu sebelum ini berkayuh basikal sejauh 11 kilometer di sekitar taman riadah dan kawasan pusat pentadbiran Putrajaya.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 3:25pm
d