mutakhir

Mati ditetak dalam kereta

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

SEORANG lelaki warga Bangladesh maut akibat ditetak menggunakan senjata tajam di Jalan Kelapa Muda, Kampung Segambut Bahagia, Kuala Lumpur, pagi hari ini.

Kematian lelaki itu dipercayai akibat pergaduhan yang berlaku, kira-kira 9 pagi, di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebaik pihak menerima laporan kejadian itu, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) untuk mengawal keadaan dan menemubual saksi.

Katanya, sepasukan forensik polis turut dihantar ke lokasi kejadian berikutan laporan mengenai kematian lelaki warga Bangladesh terbabit dalam insiden itu.

“Mangsa ditemui dalam kenderaan Toyota di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa berusia lingkungan awal 30-an dan mati akibat kecederaan di muka, tangan dan perut akibat ditetak menggunakan senjata tajam, dipercayai parang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan siasatan kes masih diteruskan untuk mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Asisten Superintendan Azrizal Khairul (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 019-2769117, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 5:38pm
d