mutakhir

Buka sekolah bila IPU bawah 200

Oleh Ibrahim Isa

KIRA-KIRA 320 sekolah termasuk institusi pengajian tinggi dan tadika di Muar, Tangkak dan Pontian yang ditutup akibat jerebu hanya akan dibuka semula selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat kurang daripada 200.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pada masa sama, kerajaan negeri bersiap sedia sekiranya sekolah, institusi pengajian tinggi dan tadika di daerah lain perlu ditutup akibat jerebu.

“Sekolah akan ditutup hingga bacaan IPU di tiga daerah itu kurang daripada 200.

“Pada masa sama, orang ramai kena ambil tahu bacaan IPU di kawasan masing-masing bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya.

“Buat masa ini, jangan lakukan aktiviti luar dan pastikan selalu pakai penutup mulut, orang ramai perlu peka bacaan IPU,” katanya selepas merasmikan Program Penghayatan Rukun Negara Peringkat Negeri Johor 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara di Johor Bahru, hari ini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar berikutan bacaan IPU di beberapa kawasan di negeri ini berada pada tahap sangat tidak sihat.

Ketika berucap pada majlis itu, Dr Sahruddin berkata, perpaduan kaum dan kemakmuran negara harus dipelihara dan semua pihak perlu memahami serta menghormati sensitiviti kaum lain dengan tidak menyentuh perkara berkaitan agama, ideologi, budaya, cara hidup serta kepercayaan masing-masing.

Menurutnya, perkara-perkara yang dipersetujui dalam kontrak sosial dan termaktub di dalam perlembagaan persekutuan seharusnya tidak dibangkitkan.

“Usahlah jadi api dalam sekam atau enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuk masing-masing, akhirnya kalah menjadi abu dan menang menjadi arang,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 6:06pm
d