mutakhir

4 kawasan sangat tidak sihat

Oleh Mohamad Hussin

EMPAT kawasan di seluruh negara mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 6 petang hari ini.

Kawasan berkenaan adalah Tangkak, Johor (249), Bandaraya Melaka (215) manakala Kuching dan Samarahan di Sarawak masing-masing 210 dan 204.

Data keseluruhan menunjukkan kualiti udara di 26 kawasan seluruh negara tidak sihat manakala 27 kawasan pula berada pada tahap sederhana.

Berdasarkan maklumat dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tidak sihat tertinggi direkodkan di Bukit Rambai (190) dan Alor Gajah, Melaka (163) manakala Port Dickson, Negeri Sembilan (188).

Lima kawasan di Johor mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Segamat (170), Batu Pahat (166), Larkin (125) dan Kluang (132).

Bacaan IPU di Sarawak turut tidak sihat iaitu Sri Aman (175), Sarikei (172), Sibu (155), Bintulu (149), Mukah (131), ILP Miri (130), Samalaju (121) dan Miri (109).

Sementara itu, kualiti udara di dua kawasan di Negeri Sembilan merekodkan IPU tidak sihat iaitu Seremban (128) dan Nilai (126) manakala di Pahang iaitu Indera Mahkota Kuantan (158), Rompin (128), Temerloh (126) dan Balok Baru Kuantan (108).

IPU tidak sihat juga dicatatkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 128 manakala di Tawau, Sabah (128).

Mengikut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berasaskan laporan Metrologi Malaysia (MET) dan National Disaster Command Center (NDCC), kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 8:01pm
d