mutakhir

Mohamed Azmin tidak mohon sertai BERSATU

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak andaian Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinannya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU berkata, kehadiran Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR serta beberapa pimpinan parti itu pada sambutan ulang tahun ketiga BERSATU di Shah Alam Khamis lalu bukan petanda mereka akan menyertai parti itu.

Menurutnya, kehadiran pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Mohamed Azmin pada sambutan ulang tahun itu adalah atas jemputan kepada pemimpin utama parti.

“Ramai (yang) datang tapi mereka tidak menyatakan hasrat untuk menyertai BERSATU.

“Azmin pun tidak buat apa-apa permohonan. Kalau ada permohonan, kita pertimbanglah,” kata Dr Mahathir yang ditemui selepas menyaksikan acara The Putrajaya Boat Race 2019, pertandingan mendayung perahu di Putrajaya hari ini.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 10:12pm
d