mutakhir

Pasar Keramat kekal istimewa

Oleh Mohd Hilmie Hussin

KUALA LUMPUR: Beroperasi hampir 40 tahun, Pasar Keramat bukan asing kepada masyarakat di Kuala Lumpur.

Walaupun dikelilingi bangunan pencakar langit serta pesat dibangunkan, pasar basah itu ada keistimewaan tersendiri yang memikat hati pelanggan.

Pengerusi Perstuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Datuk Keramat, Mohamed Tarmizi Mohamed Akil berkata, biarpun ada pihak mendakwa jualan di pasar terbabit mahal, namun tarikannya cukup kuat.

“Pasar ini 100 peratus diusahakan penjaja dan peniaga Bumiputera, malah ramai yang yakin untuk membeli ayam di sini. Istimewanya ayam yang dijual di sini segar, malah penyembelihan dilakukan di pasar ini juga oleh peniaga Muslim,” kata Mohamed Tarmizi.

Menurutnya, biarpun kehadiran pelanggan tidak semeriah dua dekad lalu, pasar terbabit masih menjadi nadi buat masyarakat sekitar untuk mendapatkan keperluan dapur.

Katanya, walaupun kelihatan usang, usaha memulihara Pasar Keramat sentiasa diberi perhatian dan terbaharu, tandas awam di pasar terbabit siap diubah suai.

Perkara itu dikongsi peniaga yang lain meskipun ada dalam kalangan mereka mengakui sukar untuk mereka capai kegemilangan seperti 30 tahun lalu.

Peniaga, Suriamin Rashidin, 34, dia mengambil alih perniagaan bapa mentuanya menjual buah-buahan tempatan di pasar terbabit, berasakan pasar itu seolah-olah ditelan pembangunan.

“Memang hasil jualan tidak serancak dulu, tapi sebagai peniaga dan penjaja, saya tidak boleh hanya menunggu pelanggan.

“Lalu saya ambil keputusan mencari pelanggan iaitu penjaja di tepi jalan yang mengusahakan jualan pisang goreng dan sebagainya, malah saya sendiri menghantar bekalan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, pasar yang terletak di tengah kota yang pesat membangun itu boleh dianggap satu bangunan lama yang ikonik untuk penduduk sekitar Keramat.

Sementara itu, Muhammad Sabri Shoib, 22, berkata, dia meneruskan perniagaan santan milik ibunya yang terkenal dengan panggilan Kak Ira.

“Dari saya kecil ikut mak berniaga, dah 30 tahun, sekarang giliran saya pula.

“Dari segi pelanggan, memang banyak kurang sekarang ini. Pasar ini mendapat kesan pembangunan dengan pembinaan jalan, penutupan laluan,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 5:30am
d