mutakhir

Syukur ada juga orang ingat

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

PUCHONG: “Alhamdulillah, sangat bersyukur kerana sudi ziarah warga emas di sini dan memilih tempat ini untuk menyampaikan sumbangan,” kata Pengasas Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Muji Sulaiman.

Rumah berkenaan yang terletak di Pulau Meranti di sini, menerima 20 kotak bagi program Harian Metro Kotak Rezeki disampaikan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein.

“Rumah ini beroperasi dengan dana sendiri malah, kami tidak mengharapkan atau meminta bantuan orang. Tetapi jika ada yang memberi sumbangan, kami menerimanya untuk keperluan penghuni di sini.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang menyokong serta memberi sumbangan untuk kegunaan warga emas ini,” katanya.

Pada masa sama, Muji berkata, dia menyedari ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas dan mengambil kesempatan menipu orang ramai untuk mendapatkan sumber kewangan.

“Baru-baru ini, ada mesej tular pada aplikasi WhatsApp mengatakan kononnya rumah ini memerlukan bantuan dan saya menyedarinya selepas rakan memaklumkan kepada saya.

“Saya terus membuat laporan pada 23 Ogos lalu bagi mengelakkan orang ramai tertipu selain menjaga nama baik rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Tuan Asri berkata, pemberian 20 kotak kepada Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas menerusi program Harian Metro Kotak Rezeki adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) akhbar ini.

“Menerusi program ini, kita mahu berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan. Di tambah lagi Harian Metro kini berwajah baharu dan kita juga akhbar komuniti yang aktif dalam CSR.

“Selain turut sama membantu golongan yang memerlukan, akhbar ini turut dimuatkan dengan ruangan berita iaitu Metro Prihatin,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 6:00am
d