mutakhir

Ingatkan anak harimau masuk rumah...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENDUDUK Kampung Bukit Teriak, Alor Setar, cemas seketika apabila menyedari kehadiran seekor kucing hutan disangka anak harimau yang memasuki rumah seorang penduduk, malam tadi.

Berikutan itu, mereka menghubungi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar memaklumkan penemuan haiwan itu.

Pegawai Operasi APM Kota Setar, Leftenan (PA) Mohamad Rizal Abd Razak berkata, anggotanya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan kucing hutan itu jam 10.30 malam.

Beliau berkata, kucing hutan atau nama saintifiknya, Prionailurus Planiceps dipercayai tersesat masuk ke dalam rumah penduduk berkenaan.

“Seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi untuk membantu menangkap kucing hutan berkenaan.

“Terdahulu, penduduk kampung memaklumkan ‘anak harimau’ itu sudah masuk perangkap dan berada di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Rizal berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira 45 minit selepas haiwan itu bertindak agresif.

“Kucing hutan ini kemudian dibawa ke pejabat APM Kota Setar untuk perlindungan sementara,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 10:35am
d