mutakhir

25 sekolah tutup jika jerebu teruk

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SESI persekolahan bagi 25 sekolah di Putrajaya akan ditangguhkan jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 iaitu sangat tidak sihat.

Timbalan Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr Roslan Hussin berkata, jumlah itu membabitkan 11 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 14 Sekolah Kebangsaan (SK).

Katanya, langkah berjaga-jaga itu dibuat jika kualiti udara semakin buruk di pusat pentadbiran Persekutuan dan boleh menjejaskan kesihatan murid serta pelajar.

“Kita memantau perkara ini. Pengumuman akan dikeluarkan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan dan rujukan asas kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lima stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat pada 11 pagi hari ini termasuk Putrajaya yang mencatatkan 202.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 11:47am
d