mutakhir

Jerebu: Melaka bertambah baik

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

SITUASI jerebu di Melaka beransur pulih, hari ini, apabila bacaan kualiti udara laman web Sistem Pengurusan Udara Malaysia (APIMS) merekodkan paras tidak sihat pagi ini berbanding sangat tidak sihat, semalam.

Bacaan kualiti udara, hari ini, di stesen Bandaraya Melaka mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 126, Alor Gajah (113) dan Bukit Rambai (118) pada jam 12 tengah hari tadi.

Semalam, Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 222 manakala kategori tidak sihat masing-masing di Alor Gajah (163) dan Bukit Rambai (194).

Berdasarkan tinjauan sekitar Bandaraya Melaka, mendapati jarak penglihatan semakin jelas dan tidak menjejaskan aktiviti pelancong yang mengambil kesempatan berkunjung ke sini sempena cuti umum Hari Malaysia.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negeri, Nasrul Hakim Hashim berkata, perkembangan baik itu disebabkan perubahan angin barat daya arah tengah Semenanjung walaupun tiada hujan.

“Hari ini kita ramalkan masih berjerebu, namun tahap bacaan kualiti udara kembali rendah disebabkan arah angin.

“Jerebu ini akan berterusan apabila sumber pembakaran atau hotspot di Sumatera masih ada dan bila ada arah angin konsisten dari lokasi hotspot itu.

“Bagaimanapun, kita masih dalam langkah berjaga-jaga” katanya ketika dihubungi di Melaka, hari ini.

Bagaimanapun, Nasrul Hakim berkata, keadaan dijangka bertambah baik apabila memasuki peralihan musim pada awal atau pertengahan Oktober depan.

“Kami masih membuat analisa. Masa berakhirnya musim barat daya, tidak sama setiap tahun jadi perlu ada analisa sepanjang masa,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 12:35pm
d