mutakhir

Pasar tani kekal kelima di Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

PEMBINAAN Pasar Tani Kekal FELDA Chini berharga RM2.5 juta memberi peluang kepada 55 usahawan berniaga pelbagai produk bagi kemudahan serta keselesaan penduduk.

Pasar tani kekal kelima di Pahang akan beroperasi empat hari seminggu pada Isnin, Rabu, Sabtu dan Ahad bermula 7 pagi hingga 3 petang.

Peniaga sayur Azrun Mat Ali, 37, berkata, tapak berniaga yang luas serta berbumbung memberi lebih keselesaan kepada peniaga menjalankan urusniaga tanpa perlu bersusah payah berbanding sebelum ini.

Katanya, cuaca panas dan hujan tidak lagi menjadi penghalang kepada peniaga berniaga, pelanggan juga boleh datang tanpa banyak masalah.

“Kemudahan lain seperti paip, tandas dan surau menambahkan lagi keselesaan kepada peniaga serta pelanggan yang datang untuk mendapatkan keperluan harian.

“Saya memuji usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang yang menyediakan pasar tani kekal FELDA Chini untuk kemudahan peniaga serta pengguna setempat,” katanya Sempena Pembukaan Pasar Tani Kekal FELDA Chini yang disempurnakan Pengarah FAMA Pahang Rosli Aw Da di kompleks pemasaran Chini di Pekan, hari ini.

Turut hadir Pegawai FAMA Pekan Mohd Nazib Idris.

Sementara itu Rosli berkata, pasar tani kekal FELDA Chini disediakan untuk keselesaan peniaga serta pengguna yang ingin mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti sayuran, ikan, daging, buah-buahan dan produk makanan.

“Kawasan berniaga yang luas dan selesa dapat merancakan lagi aktiviti jualan yang diadakan empat hari seminggu.

“Semua kemudahan disediakan dan 55 usahawan yang terbabit perlu bekerjasama menjaganya, sedikit bayaran yang dikenakan bertujuan untuk aktiviti kebersihan,” katanya yang berharap masyarakat tidak melepaskan peluang mendapatkan keperluan harian di pasar tahi kekal FELDA Chini.

Beliau berkata, Bahagian Penguatkuasa FAMA sentiasa mengadakan pemeriksaan bagi memastikan peniaga tidak sesuka hati menaikan harga hingga membebankan pengguna.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 1:46pm
d