mutakhir

Pelancong mulai keluar

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

SITUASI jerebu yang semakin pulih di Melaka hari ini berbanding dua hari lalu digunakan sebaiknya pelancong untuk melakukan aktiviti luar khususnya berkunjung ke beberapa lokasi pelancongan negeri.

Tinjauan NSTP di beberapa lokasi berkenaan seperti di Sungai Melaka dan Menara Taming Sari di pusat bandar mendapati, jumlah pengunjung lebih ramai berbanding semalam termasuk tidak ramai yang memakai penutup hidung dan mulut akibat kualiti udara tercemar berbanding semalam.

Jarak penglihatan juga dilihat semakin jelas dan tidak menjejaskan aktiviti pelancong yang mengambil kesempatan berkunjung ke sini sempena cuti umum Hari Malaysia.

Pengunjung dari Ipoh, Perak, Nor Faezah Ahmad Fakhruddin, 33, berkata, dia gembira apabila dapatmeluangkan lebih banyak aktiviti luar hari ini berbanding Sabtu lalu yang menyaksikan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tahap tidak sihatiaitu IPU 153 di Bandaraya Melaka.

“Kualiti udara yang semakin buruk menyebabkan saya, suami dan anakterpaksa menghadkan aktiviti di dalam bangunan.

“Tapi Alhamdulillah, situasi jerebu yang beransur pulih sejak malam tadi membuatkan kami mahu menghabiskan masa hari ini berkunjung banyak lagi tempat menarik di sini,” katanya.

Penolong jurutera dari Putrajaya, Nazri Ismail, 38, berkata, mereka lima beranak terpaksa memakai penutup hidungdan mulut semalam atas faktor kesihatan semalam walaupun tidak selesa menggunakannya.

“Tapi hari ini anak-anak tidak lagi mengeluh perlu memakai penutup berkenaan dan bebas melakukan aktiviti luar walaupun kualiti udara masih tidak sihat tetapi ia lebih baik berbanding semalam.

“Saya harap kerajaan negeri juga dapat berbuat sesuatu untuk memastikan kualiti udara bertambah baik atau jika tidak ia pasti akan menjejaskan pendapatan sektor pelancongan,” katanya.

Bacaan kualiti udara di laman web Sistem Pengurusan Udara Malaysia (APIMS) hari ini merekodkan paras tidak sihat pagi ini berbanding sangat tidak sihat, semalam.

Bacaan kualiti udara,di stesen Bandaraya Melaka mencatatkan IPU 126, Alor Gajah (113) dan Bukit Rambai (118) pada jam 12 tengah hari tadi.

Semalam, Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 222 manakala kategori tidak sihat masing-masing di Alor Gajah (163) dan Bukit Rambai (194).

Berdasarkan tinjauan sekitar Bandaraya Melaka, mendapati jarak penglihatan semakin jelas dan tidak menjejaskan aktiviti pelancong yang mengambil kesempatan berkunjung ke sini sempena cuti umum Hari Malaysia.

habis.

From: Reza

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 1:53pm
d