mutakhir

'Superman' promosi pakaian warisan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SUPERMAN pakai kain sarung. Itu antara tarikan pengunjung Festival Permainan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia menarik minat orang ramai terutama kanak-kanak yang teruja melihat watak superhero mengenakan pakaian tradisi bersama kostum yang terkenal di seluruh dunia itu.

Bagi Farabi Zawali, 33, tiada apa yang harus dimalukan apabila mengenakan kostum bersama sarung apatah lagi di festival yang begitu meriah itu.

Katanya, ia sebahagian daripada usaha mempromosi pakaian warisan negara seperti kain sarung dan tanjak bersama-sama pakaian seragam watak tersohor dunia itu.

“Ramai yang ingin berselfie bersama. Mungkin kerana tak pernah tengok Superman pakai kain sarung.

“Idea ini saya dapat selepas melihat begitu banyak pakaian tradisional. Sebelum ini memang saya banyak pakai kostum superhero untuk beberapa program.

“Tapi kali ini memang unik kerana saya pakai sarung dan tanjak. Nampak pelik, tapi ia sebahagian daripda promosi,” katanya.

Menurutnya sejak empat tahun lalu dia giat mempromosi ‘cosplay’ dan ia mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

Dia bersama dua lagi rakan menyertai FPM dan mereka turut teruja apabila dapat bersama-sama orang ramai melaram pakaian tradisional.

FPM yang bermula sejak Sabtu lalu, berakhir hari ini dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Tan Sri Norliza Rofli.

Gambar Khairul Helmy Mohd Din dan Nurul Syazana Rose Razman

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 2:07pm
d