mutakhir

Badang wanita tarik traktor

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

MELIHAT saiz traktor yang dianggarkan seberat 1.2 tan, ia pasti sukar untuk ditarik wanita.

Namun, Nor Shidah Isa, 38, dan 10 rakan wanitanya membuktikan kehebatan apabila dinobatkan johan kategori wanita, Pencarian Badang di Kampung Dato Johan, Jempol, hari ini.

Nor Shidah dan rakannya beraksi gagah menarik traktor sejauh 15 meter dalam masa 25 saat sekali gus mengetepikan cabaran 44 peserta wanita dari empat kumpulan lain.

Katanya, dia terhibur dengan Program Sambutan Hari Malaysia anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Dato Johan dan langsung tidak menjangka dinobatkan johan pertandingan itu.

Nor Shidah berkata, dia kali pertama memasuki pertandingan itu dan tidak meletak sebarang harapan memenangi pertandingan berkenaan.

“Saya memasuki pertandingan ini sekadar suka-suka kerana ingin merasai pengalaman sebagai orang kampung.

“Tidak sangka pula saya bersama rakan berjaya menarik traktor yang disediakan seterusnya dinobat sebagai johan kategori wanita,” katanya ketika ditemui selepas program itu, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Pegawai Daerah Jempol, Mas Midyawan Yahya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Corporation Sdn Bhd, Eddy Noriswan Ismail dan Pengerusi MPKK Kampung Dato Johan, Mohd Fauzi Zakaria.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, pencarian badang itu diadakan hasil idea penduduk yang mahukan kelainan bagi menggantikan acara tarik tali yang kerap diadakan sebelum ini.

“Sebanyak sembilan kumpulan terdiri daripada empat kumpulan lelaki dan lima kumpulan wanita mengambil bahagian menarik traktor seberat 1.2 tan yang digunakan untuk membajak tanah.

“Jentera itu perlu ditarik peserta sejauh 15 meter dan kemenangan ditentukan berdasarkan masa menarik jentera itu paling pantas,” katanya.

Beliau berkata, selain acara itu turut diadakan acara mendaki Bukit Bunga, kukur kelapa, boling kelapa dan memikat burung yang berjaya menarik kehadiran kira-kira 200 penduduk kampung berkenaan dan kampung berhampiran.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 5:04pm
d