mutakhir

Kerjasama UMNO-PAS gimik politik - Zuraida

Oleh Siti Azila Alias

PENYATUAN antara UMNO dan PAS menerusi pemeteraian Piagam Muafakat Nasional, Sabtu lalu, langsung tidak memberi kesan kepada PKR, sebaliknya menganggap ia sekadar gimik politik.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai kerjasama antara kedua-dua parti itu kerana ia sesuatu yang biasa selain memberitahu dalam PKR juga sudah lama wujud ‘penyatuan’ seumpamanya.

“Pada saya ia (kerjasama UMNO-PAS) hanya gimik politik. Kalau nak kata ahli akar umbi Melayu sudah bersatu, dalam PKR pun ada Melayu, Cina yang duduk bersama di kedai kopi.

“Jadi, tak ada apa yang saya perlu risaukan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Jelutong, Bagan dan Tanjung di sebuah hotel dekat Tanjong Tokong, Georgetown, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah, Sabtu lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sementara itu, ditanya mengenai kemelut dalaman PKR, terutama membabitkan diri beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, setiap parti ada masalah tersendiri begitu juga dengan UMNO dan PAS.

Bagaimanapun, katanya, PKR menjadi tumpuan kerana masalah itu diketahui umum dan sudah tentu ramai pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku.

“Saya masih tetap dengan pendirian untuk bertemu Anwar dan berharap masih diberi peluang untuk berbuat demikian demi kebaikan parti,” katanya.

Sebelum ini, Zuraida mendedahkan permintaannya untuk bertemu Anwar tidak dilayan Presiden PKR itu, menjadi punca beliau dan beberapa pimpinan lain tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Menurut Zuraida, sebanyak tiga pucuk surat dihantar kepada Anwar untuk membolehkan beliau dan beberapa pemimpin lain bertemu tetapi permintaan itu tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pihaknya sudah pun menjawab surat Zuraida.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 6:06pm
d